JACKSON (Mississippi): Duta besar India ke Amerika Syarikat, Cik Meera Shankar, 60 tahun, ditarik keluar daripada barisan penumpang dan diperiksa oleh ejen keselamatan lapangan terbang di Mississippi selepas beliau menghadiri satu persidangan minggu lepas.
Pemeriksaan dilakukan oleh pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) meskipun mereka sudah diberitahu mengenai status Cik Shankar sebagai diplomat dan mempunyai kekebalan diplomatik.Akhbar Clarion-Ledger melaporkan bahawa Cik Shankar berada di Jackson minggu lepas atas undangan Universiti Negeri Mississippi.Cik Shankar diperiksa secara rapi walaupun beliau tidak mencetuskan amaran alat pengesan logam.Para saksi berkata ejen keselamatan melakukan pemeriksaan rapi kerana Cik Shankar memakai sari.Menurut akhbar Clarion-Ledger itu lagi, Cik Shankar meminta pemeriksaan dilakukan secara tertutup.Tetapi beliau dibawa oleh dua pegawai ke sebuah pondok telus pandang untuk diperiksa.Begitupun, seorang jurucakap TSA berkata para diplomat tidak dikecualikan daripada pemeriksaan. Menurutnya, Cik Shankar diperiksa mengikut prosedur TSA.Insiden itu memalukan Universiti Negeri Mississippi yang mengundang Cik Shanker untuk memberi ucapan dalam satu forum Jumaat lalu.'Ia satu program yang bagus. Tetapi insiden itu merosakkan segala-galanya,' kata Profesor Janos Radvanyi, Dekan Jabatan Pengajian Antarabangsa universiti itu.Menurutnya, Cik Shankar berkata: 'Saya tak akan datang lagi ke sini.''Kami akan menghantar sepucuk surat untuk meminta maaf kepadanya,' kata Profesor Radvanyi.Menurut Profesor Radvanyi lagi, seorang pegawai polis mengiringi Cik Shankar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jackson-Evers untuk penerbangan ke Baltimore Sabtu lalu.Di sana beliau dibawa ke bilik menunggu orang kenamaan.Pegawai polis itu memberitahu polis lapangan terbang bahawa Cik Shankar seorang duta besar. Tetapi beliau tetap diperiksa oleh pegawai wanita TSA, kata Profesor Radvanyi.Jurucakap Gabenor Mississippi, Encik Haley Barbour, berkata pejabatnya akan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.Kementerian Luar India semalam berkata mereka akan menghantar satu nota bantahan kepada Amerika berhubung insiden tersebut. -- Agensi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan