KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pelakon yang terkenal dengan imej seksi, Rebecca Nur Al-Islam Ahmad, 24, memilih seorang duda untuk menamatkan zaman bujangnya pada 14 Januari depan.
Pelakon drama Gadis Kosmo ini bakal menjadi isteri kepada Nor Azam Sulaiman, 42, yang merupakan seorang peguam serta ahli perniagaan dan mempunyai dua orang cahaya mata.
Menurut Rebecca, mereka berdua bersepakat untuk berkahwin setelah tiga tahun menyulam cinta.
"Saya bersetuju menerima lamarannya kerana saya suka sifatnya yang mementingkan keluarga dan penyayang dengan kanak-kanak kerana saya sendiri mempunyai seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, 2 tahun.
"Saya tidak berniat untuk terlalu berahsia tentang kami sebelum ini, cuma saya tidak mahu terlalu menghebohkannya kerana risau tidak jadi," ujar Rebecca sewaktu ditemui di sidang akhbar mengumumkan majlis perkahwinannya di sini, hari ini.
Keluarga Nor Azam telah datang merisik Rebecca pada 25 Ogos yang lalu dan mereka membuat keputusan untuk menjalankan adat bertunang beberapa jam sebelum bernikah nanti.
Majlis persandingan mereka secara tradisional akan diadakan pada keesokan harinya iaitu 15 Januari 2011 di Hotel Flamingo, Ampang, manakala pada 16 Januari pula akan diadakan majlis persandingan di Menara Kuala Lumpur.
Masih belum membuat keputusan tentang wang hantaran, menurut Rebecca, pihak lelaki akan memberikan 15 dulang hantaran berbalas 17 dulang hantaran dan satu set barangan kemas jenama Chopard merupakan salah satu daripada hantaran untuknya.
Tambahnya, Nor Azam turut menghadiahkan sebuah rumah untuknya di Ampang sebagai hadiah perkahwinan mereka dan pasangan ini akan menetap di sana selepas berkahwin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan