Akad nikah di wad
Kamsiah Abd. Majid melihat kecederaan Asmani Aziz di wad D2 Hospital Melaka, Melaka, semalam. - utusan/Abdul Razak Latif |
MELAKA 10 Dis. - Manusia mampu merancang, tuhan menentukan segalanya.
Mungkin itulah kata-kata bidalan yang sesuai bagi menggambarkan majlis akad nikah Asmani Aziz dan isterinya, Kamsiah Abd. Majid, yang selamat diijab kabul di Wad D2, Hospital Melaka, di sini hari ini.
Biar pun segala perancangan telah dilakukan, namun takdir menentukan majlis akad nikah berlangsung di wad tersebut setelah Asmani ditimpa kemalangan jalan raya tiga hari yang lalu.
Asmani, 31, dinikahkan dengan Kamsiah, 21, oleh Imam 1 Masjid Tanjung Bidara, Abu Khir Jamaluddin pada pukul 10 pagi ini.
Pengantin lelaki yang memakai baju Melayu warna putih dan bersongkok sambil berbaring di katil menyempurnakan akad nikah dengan tiga kali lafaz.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman.
Suasana dalam wad itu juga penuh sesak dengan saudara-mara, sahabat handai serta media yang masing-masing ingin menyaksikan saat yang amat bermakna itu.
Malah, majlis pernikahan tersebut juga menyaksikan pengantin perempuan yang diapit bunga manggar dan bunga telur berarak menuju ke wad pengantin lelaki yang terletak di tingkat dua.
Mengulas majlis pernikahan itu, Kamsiah berkata, ia terpaksa diteruskan walaupun suaminya itu dimasukkan ke wad selepas terlibat dengan kemalangan apabila kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler tiga hari lalu.
"Akibat kemalangan itu, suami patah kaki dan cedera di beberapa bahagian badan tetapi pernikahan ini terpaksa diteruskan kerana segala persiapan telah dilakukan.
"Apa pun, saya tetap gembira dan mungkin ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Kami ucapkan terima kasih kepada semua terutamanya pihak hospital yang membuat sambutan untuk majlis pernikahan kami," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Asmani yang masih lemah memberitahu, dia tidak sangka majlis akad nikah tersebut berlangsung di hospital.
"Selain memakai baju pengantin, saya juga terkejut apabila tilam saya turut dilapik cadar berwarna hijau seperti tilam pengantin," katanya sambil mengalirkan air mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan