Orang ramai mengambil peluang cuti umum Maal Hijrah untuk membuat bayaran kompaun kesalahan trafik apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kaunter separuh hari kelmarin.
Tawaran kadar munasabah sehingga 50 peratus menarik menarik minat orang ramai membayar kompaun kesalahan sehingga berlaku pertambahan luar biasa pembayar kompaun.
Malah inisiatif yang diberikan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh Asisten Superintendan Mohd Hamzah yang membuka kaunter separuh hari walaupun pada hari cuti umum berjaya mengutip jumlah bayaran sebanyak RM22,410 daripada 203 kompaun yang dikeluarkan.
Mohd berkata, usaha yang dilakukan itu bagi memudahkan orang ramai yang bekerja pada hari biasa membayar kompaun kesalahan trafik pada cuti umum.
Menurutnya, sejak tawaran 50 peratus diberikan pada 1 Disember lalu pihaknya berjaya mengutip bayaran sebanyak RM44,790 daripada 444 kompaun pada hari pertama diikuti sebanyak RM58,330 daripada 571 kompaun pada hari kedua.
“Kutipan tertinggi dicatatkan Jumaat lalu iaitu sebanyak RM120,220 daripada 1,144 kompaun diikuti kedua tertinggi pada Isnin dengan kutipan sebanyak RM114,000 daripada 1,105 kompaun.
“Kita juga menggesa pemandu yang menerima kompaun kesalahan trafik membuat bayaran sempena diskaun yang diberikan ini.
“Mereka boleh membuat bayaran di mana-mana balai trafik daerah yang berhampiran dengan mereka walaupun kesalahan dilakukan di tempat lain,” katanya.
Mohd berkata, bagi pemandu yang menerima kompaun kesalahan trafik bermula 1 Disember 2010 dan menjelaskan dalam tempoh 15 hari mereka juga diberikan diskaun sehingga 50 peratus.
Beliau berkata, bagi mereka yang menjelaskan dalam tempoh 16 hingga 30 hari diberikan diskaun 30 peratus dan selepas tempoh itu tiada lagi diskaun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan