KETIKA ini, peminat setia filem trilogi The Lord of the Rings (LOTR) memang sudah tidak sabar lagi untuk menantikan perkembangan terbaru filem prekuelnya, The Hobbit.
Sebaik sahaja Peter Jackson mengumumkan akan mengarahkan filem tersebut, ramai yang menyambutnya dengan gembira.
Bagi peminat LOTR, mereka merasakan tiada pengarah lain yang lebih layak daripada Jackson untuk mengemudikan The Hobbit.
Malah, mereka percaya Jackson akan memberikan sentuhan magis seperti mana dalam filem trilogi LOTR.
Bakal menjalani penggambaran bermula Februari 2011 di New Zealand, Jackson sudah pun mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi The Hobbit.
Selain Ian McKellen yang akan kembali membawakan watak sebagai Gandalf, aktres hebat, Cate Blanchett juga bakal membintangi filem tersebut.
"Blanchett memang merupakan pelakon kegemaran saya dan tiada apa yang lebih menggembirakan saya apabila dia bersetuju untuk kembali sebagai Galadriel.
"Memang tiada aktres yang lebih layak daripadanya untuk membawakan watak ini yang telah dizahirkan dengan cukup cantik oleh Blanchett dalam tiga filem terdahulu," ulas Jackson yang juga merupakan pemenang Oscar untuk Pengarah Terbaik bagi filem The Lord of the Rings: Return of the King.
The Hobbit akan diterbitkan dalam dua siri di mana filem pertamanya bakal menemui penonton pada Disember 2012 manakala siri kedua pula setahun selepas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan