Jumaat, 10 Disember 2010

ROSYAM " PILIH KASIH" ?


Barisan peserta Pilih Kasih musim kedua yang bakal memulakan misi mereka malam ini.


TIRAI program realiti Pilih Kasih (PK) ditutup dengan menobatkan Iqbal Mazlan selaku juara sulung rancangan yang bertujuan melahirkan bakat baru dalam bidang lakonan itu.
Persoalannya, siapakah selepas Iqbal yang bakal merebut gelaran itu apabila misi pencarian pelakon berbakat yang memasuki musim kedua itu dimulakan malam ini?
Semuanya bakal terjawab apabila Pentas Pilih Kasih (PPK) disiarkan secara langsung mulai hari ini, pada pukul 8.30 malam di TV2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban.
Secara keseluruhannya, PPK yang bakal bersiaran pada malam ini selama 10 minggu merupakan platform paling utama buat kesemua 16 peserta PK2 selain episod diarinya, Kisah Pilih Kasih (KPK).
Lain daripada yang lain, PPK menguji kredibiliti peserta PK2 dalam menonjolkan bakat mereka menerusi tiga segmen iaitu drama, monolog dan teater muzikal.
Ketika majlis memperkenalkan barisan peserta PK2 yang digelar artis oleh penerbitnya, Rosyam Nor, dia memberitahu, setiap intipati yang dipersembahkan dalam PPK adalah titik fokus yang perlu diutamakan.
Jelasnya, episod mingguan itu adalah penentu segala-galanya. Maka, ketika itulah setiap peserta PK2 perlu bersiap sedia sama ada secara mental mahu pun fizikal.
“Pada malam pementasan PPK, segala-galanya diuji. Ia seakan medan pertempuran. Setiap daripada mereka akan berperang menyerlahkan diri masing-masing.
“Tidak kira sama ada drama, monolog mahu pun teater, setiap satunya ada objektifnya yang perlu dicapai.
“Pada malam pementasan itu akan membuktikan kemampuan mereka selepas seminggu dilatih dan diajar oleh barisan tenaga pengajar yang telah dilantik,” kata Rosyam.
PPK akan menampilkan Reza Mohamed selaku pengacara manakala Iesya Toh akan memikul tanggungjawab mengendalikan episod KPK yang bersiaran pada setiap hari, pukul 4.30 petang di TV2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan