Sabtu, 5 Mac 2011

Ruby Rubacuori penari gelek jadi pasangan menari



Kemunculan seorang penari gelek, Karima el-Mahroug menari bersama jutawan dari Austria, Richard Lugner kelmarin telah menarik perhatian tetamu acara tarian Opera Ball di sini.
Karima, 18, yang turut dikenali dengan nama pentasnya, Ruby Rubacuori sebelum ini dijauhi oleh segelintir pihak termasuk stesen televisyen yang mengelak memberi sebarang liputan kepadanya kerana gadis itu dikaitkan dengan skandal seks Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.
Perdana Menteri Itali itu akan dibicarakan bulan depan berhubung tuduhan beliau membuat bayaran kepada Karima untuk melakukan hubungan seks semasa gadis tersebut berusia di bawah umur iaitu 17 tahun.
Ketika diwawancara oleh media sebelum memasuki dewan acara itu, Karima dalam nada sedikit gementar berkata: "Saya tidak pandai menari tarian waltz. Saya hanya boleh menari gelek."
Namun, dia mengaku mendapat pengalaman berguna apabila diberi peluang menghadiri acara tersebut.
Penganjur sebelum ini mengancam untuk melarang ahli perniagaan Austria yang berusia 78 tahun itu menghadiri acara tarian tersebut kerana mengundang Karima dan bekas bintang Dallas, Larry Hagman untuk menghadiri majlis itu.



Ahli perniagaan itu yang dilaporkan membayar sebanyak 40,000 euro (RM169,324) untuk memastikan Karima muncul dalam majlis tersebut.
"Jika Berlusconi menyukainya (Karima), dia cukup bagus untuk menghadiri Opera Ball," kata Lugner.
Penganjur acara tarian itu, Desiree Treichl-Stuerkh berkata, Karima merupakan seorang pelacur yang terlibat dalam prosiding undang-undang menentang Berlusconi.
Ekoran tindakan Lugner membawa Karima menjadi pasangan menarinya, Desiree berkata, jutawan tersebut tidak akan diundang lagi dalam majlis tarian tersebut pada tahun depan.
Karnival tarian itu dihadiri oleh golongan yang terkenal dalam pelbagai bidang dan mereka akan menari tarian waltz pada setiap tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan